Akhirnya Tun Dr Mahathir (TDM) telah memuktamadkan keputusan beliau untuk memisahkan diri beliau dari UMNO pada tanggal 19 Mei 2008. Walau begitu pedih sekalipun, namun mengenangkan jasa-jasa TDM dalam membentuk UMNO dan membangunkan negara ini dalam masa pemerintahan beliau selama 22 tahun, warga UMNO patut mengucapkan syabas kepada beliau kerana selama ini beliau sentiasa konsisten dalam membuat keputusan.
Umum mengetahui sejak 2-3 tahun kebelakangan ini, TDM banyak mengkritik dasar pemerintahan Pak Lah dalam menguruskan negara dan juga dalam memastikan tunjang kekuatan UMNO tidak tercabar, namun semua kritikan beliau hanya ibarat menuang air di daun keladi, tidak dapat menimbulkan apa-apa perubahan pada diri pucuk kepimpinan UMNO, terutamanya oleh Pak Lah. Pak Lah yang semakin kelabu dengan kemenangan beliau yang hebat dalam PRU-11, merasakan dirinya mampu menjadi PM yang lebih hebat dari TDM, tanpa mempedulikan rintihan dari akar umbi, dan tanpa mempedulikan nasihat dari bekas PM yang banyak berjasa ini.
Saranan TDM agar ahli-ahli UMNO keluar beramai-ramai juga merupakan satu saranan yang ekstrem, jika difikirkan bahawa betapa sayangnya TDM pada UMNO. Masakan tidak, beliau berjaya membawa UMNO mengharungi pelbagai krisis, dari tahun 1988, hinggalah kepada pemecatan Dato Seri Anwar Ibrahim pada tahun1998. Semuanya berjaya diharungi dengan tabah dan mengekalkan UMNO kembali di landasan yang kuat. Pemimpin yang bijak ialah pemimpin yang mampu mengharungi segala cabaran. Saatnya telah tiba untuk Pak Lah untuk kembali menggunakan kebijakannya untuk menyatukan semula UMNO, merapatkan barisan dan seterusnya menjadikan UMNO terus kekal sebagai teraju pemerintahan negara. Persoalannya ialah apakah langkah yang akan diambil oleh Pak Lah?
Keluarnya TDM dari UMNo membawa seribu cerita, dan juga membawa bersama beribu penyokongnya. Inilah yang perlu diambil perhatian oleh Pak Lah dan menteri-menteri yan lain. Sebagai pemimpin yang berkaliber, TDM tidak akan menyertai parti lain, namun jangan lupa, pihak pembangkang di luar sana akan sentiasa menyediakan peluang kepada TDM untuk menyertai mereka. Cuma masa yang akan menentukan siapa yang berani untuk mengutarakan permintaan ini.
Saatnya telah tiba untuk UMNO kembali mereformasikan dirinya. Menyebut kepada kata-kata TDM sendiri, UMNO adalah untuk semua, bukan milik peribadi. Bukan milik TDM dan juga bukan milik Pak Lah. Tanpa sokongan dari akar umbi, UMNO tidak akan kemana. Masanya telah tiba untuk berubah. Namun, beranikah mereka yang berada di atas? Mahukah mereka sekurang-kurangnya mendengar nasihat TDM dan belajar dari pemimpin negara yang berkaliber ini?
Buat Pakatan Rakyat, berita ini mungkin menggembirakan. Namun mereka juga tahu, jika UMNO berjaya mengharungi krisis ini (seperti krisis-krisis yang sebelumnya), mereka juga tidak akan kemana. Hanya akan kekal menjadi pembangkang sahaja. TDM berjaya menyatukan UMNO sebelum ini, dan tindakannya kali ini juga bakal memberikan kesan dalam menyatukan UMNO. Hanya masa yang akan menentukan segalanya..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment